Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Wawasan 2020, yang menetapkan Malaysia menjadi negara maju dan rakyatnya berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, memerlukan Malaysia melahirkan tenaga kerja mahir dan modal insan yang cemerlang, berketrampilan dan berdaya saing di peringkat global. Bagi mencapai wawasan tersebut, kerajaan telah memberi penekanan yang penting termasuk dalam hal pembangunan modal insan di sektor awam. Seperti yang kita sedia maklum, pembangunan modal insan yang seimbang akan menghasilkan pekerja yang cekap dan terbaik kepada negara, yang pastinya akan meningkatkan imej kerajaan di mata rakyat. Ini dapat dilaksanakan melalui pembelajaran berterusan yang berteraskan penguasaan pengetahuan, kemahiran, kreativiti dan inovasi.
Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE) ini diwujudkan bagi mencapai matlamat untuk melahirkan kakitangan yang kompeten dan profesional. Hal ini selaras dengan hasrat JKR Malaysia untuk menjadi pembekal perkhidmatan bertaraf dunia dan pusat kecemerlangan dalam bidang pengurusan aset, pengurusan projek dan kejuruteraan. Kesinambungan usaha yang digerakkan ini diharap dapat menghasilkan modal insan yang kreatif, inovatif dan seiring dengan kemajuan teknologi sedia ada.
Pastinya usaha yang murni ini tidak dapat dilaksanakan tanpa bantuan dan usaha jitu daripada semua pihak bermula dari peringkat bawahan hingga ke peringkat atasan. Marilah sama-sama kita berdoa agar usaha yang murni bagi kesejahteraan negara ini dapat dijayakan dan menjadi kenyataan jua.

“Ke arah pusat kecemerlangan kejuruteraan dan teknologi negara, bertaraf dunia”

Pengarah Kanan CREaTE

Views: 2774